AUKU: Tiba Masanya Dipinda Semula!



Setelah sekian lama gerakan mahasiswa serta badan-badan bukan kerajaan (NGO) belia memperjuangkan supaya Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 dipinda (ada yang lebih radikal, meminta supaya AUKU dihapuskan terus!), akhirnya pada bulan lepas (Mac 2008) Menteri Pengajian Tinggi yang baru, Dato’ Khaled Nordin, telah membuat pengumuman yang menyatakan hasrat kerajaan untuk mengkaji semula AUKU. Sama ada pengumuman itu semata-mata merupakan strategi politik untuk meraih populariti, ataupun hasrat yang benar-benar sejati, itu bukanlah perkara yang perlu untuk kita persoalkan kerana apa yang tersembunyi dalam hati manusia itu hanya Tuhan sahaja yang tahu.

Syukur, dokumen “13 Tuntutan Mahasiswa” yang dilancarkan oleh PKPIM sebelum Pilihanraya Umum ke-12 baru-baru ini sedikit sebanyak ada kesannya. Salah satu hasrat yang dituntut oleh PKPIM yakni supaya AUKU dipinda semula bagi memberi lebih kebebasan kepada mahasiswa untuk ‘berkarya’ – mengembangkan kreativiti dan kapasiti kepimpinan – mendapat respon yang positif daripada pihak kerajaan. Baru-baru ini (23 April 2008), aku telah ke Wisma Radio di Angkasapuri untuk rakaman rancangan Bicara 845 di radio Klasik Nasional bersama DJ Hammami Hj. Yusoff, khusus membicarakan secara ringkas berkenaan dengan isu AUKU.

Menyoroti sejarah, AUKU diperkenalkan pada tahun 1971 berikutan keterlibatan secara aktif golongan mahasiswa dalam politik negara. Manifesto yang dikeluarkan oleh mahasiswa telah mendapat sambutan yang hangat daripada rakyat negara ini menyebabkan pihak kerajaan merasakan perlu ada satu akta untuk mengawal gerakan mahasiswa supaya tidak keterlaluan. Gerakan mahasiswa yang semakin agresif sekitar era 70-an telah menyebabkan beberapa pindaan dilakukan terhadap AUKU bagi mengekang kebangkitan mahasiswa. Akibatnya, di kalangan mahasiswa pada hari ini sudah wujud ‘culture of fear’ yang menyebabkan kebanyakan mahasiswa sudah hilang kepedulian sosialnya akibat lesunya idealisme.

Mungkin ada yang mempersoalkan tentang keperluan AUKU dipinda, kerana ada pandangan yang mengatakan bahawa AUKU bukanlah satu halangan yang besar untuk mahasiswa terlibat secara langsung dengan masyarakat. Golongan yang berpandangan sebegini menggunakan hujah bahawa masih banyak persatuan di unversiti yang boleh bergerak tanpa halangan, dan banyak juga program-program yang dijalankan oleh mahasiswa pada hari ini yang bersifat kemasyarakatan. Namun, ukuran sebenar kelesuan mahasiswa bukanlah dibuat pada berapa banyak program dan aktiviti yang mereka lakukan, berapa banyak jawatan yang dipegang atau berapa banyak persatuan yang disertai. Semua itu hanyalah manifestasi kepada indikator sebenar kekuatan mahasiswa: idealisme!

Mantan Presiden PKPIM, Dr. Asyraf Wajdi Dato’ Hj. Dusuki menyatakan bahawa idealisme “merujuk kepada pegangan atau prinsip fundamental yang dihayati lagi diamali”. Justeru, kekuatan idealisme menjadi penentu penting kepada peranan yang akan dimainkan oleh mahasiswa dalam konteks pembangunan masyarakat. Kekuatan idealisme mahasiswa bergantung kepada pembinaan pemikiran dan ideologi yang didokong oleh mahasiswa tersebut yang akan diterjemahkan ke dalam bentuk tindakan yang praktikal. Seandainya mahasiswa melakukan sesuatu aktiviti itu bukan bertitik tolak daripada satu idealisme yang jelas, maka apa yang dilakukan hanya bersifat sementara, dan berbentuk luaran semata-mata kerana tidak disertai rasa hati dan rasa tanggungjawab atas perkara yang dilakukan.

Bagi seorang mahasiswa, khususnya mahasiswa Islam, slogan seperti “amar ma’ruf nahi munkar” serta “menegakkan kebenaran dan keadilan” seharusnya menjadi prinsip yang mencorak idealisme mereka. Pembentukan idealisme yang murni ini hanya mungkin berlaku melalui proses pembelajaran, perkongsian pengalaman serta keterlibatan secara langsung dalam gerak kerja menterjemah idealisme melalui paduan aktivisme, panduan intelektualisme serta kekuatan spiritualisme. Dalam hal inilah seorang mahasiswa itu memerlukan ruang yang luas untuk mengembangkan daya fikir serta kreativiti mereka sebagai latihan bagi membentuk idealisme dan intelektualisme mereka. Dalam konteks inilah AUKU dikatakan sebagai mengekang. Ada beberapa kes yang boleh dijadikan sebagai hujah untuk menunjukkan betapa apabila mahasiswa cuba bersuara dan menyatakan pandangan mereka, AUKU telah digunakan untuk mengekang.

Pada Julai 1999, Yong Kai Ping daripada UTM telah dihadapkan ke prosiding dan didenda RM200 kerana menghantar satu memorandum (bersama beberapa mahasiswa lain) yang bertajuk “Towards A National Justice” kepada Ketua Hakim Negara pada ketika itu yakni YAA Eusoff Chin sebagai memprotes keganasan dan kezaliman pihak polis semasa gerakan reformasi. Pada Februari 2000 pula, Mohamad Rizal daripada UUM telah didapati bersalah oleh pihak universiti ketika memberikan kenyataan debat dalam sebuah bengkel debat. Dia digantung tiga semester pengajian oleh pihak universiti. Pada Julai 2001, tujuh orang mahasiswa telah ditahan di bawah ISA kerana menyertai perhimpunan aman di Masjid Negara anjuran Gerakan Mahasiswa Mansuhkan ISA (GMMI). Dalam proses pengadilan di mahkamah, AUKU telah digunakan untuk menggantung kesemua mahasiswa ini tanpa diberi peluang membela diri.

Seterusnya, pada Mei 2001, seorang mahasiswa USM telah dihalang daripada mengambil bahagian dalam pertandingan debat di Nanyang Technological University di Singapura. Presiden Persatuan Bahasa Tionghua pada ketika itu, Lee Yen Ting, telah mengeluarkan satu kenyataan akhbar menyatakan bahawa pihak universiti telah melakukan diskriminasi dan membuat keputusan tanpa sebab. Enam orang mahasiswa telah dihadapkan ke prosiding. Presiden dan Setiausaha Persatuan Bahasa Tionghua masing-masing didenda RM200 manakala empat lagi mahasiswa didenda RM150 seorang.

Begitulah sedikit sebanyak antara kes-kes di mana AUKU telah digunakan untuk mengekang gerakan mahasiswa. Akibatnya, mahasiswa yang lemah semangat juangnya akan berasa takut dan mengambil keputusan untuk menuruti sahaja kehendak pihak kerajaan, walaupun diketahui kadang-kala apa yang dibuat itu menyalahi prinsip-prinsip asas agama dan kemanusiaan. Akhirnya proses pembinaan idealisme mahasiswa tidak berjalan menyebabkan mahasiswa tidak tahu halatuju perjuangannya sebagai seorang mahasiswa. Hal inilah yang menyebabkan begitu banyak mahasiswa terpengaruh dengan budaya yang tidak sihat seperti hedonisme dan perlakuan seks luar nikah. Yang lebih baik pun, hanya keluar daripada universiti dan menjadi ibarat ‘robot’, hanya tahu melakukan apa yang diarahkan. Inilah antara faktor mengapa negara kita sekarang mempunyai lebih daripada 300,000 graduan menganggur.

Justeru, sudah tiba masanya AUKU dipinda bagi memastikan proses pembangunan modal insan dapat berjalan dengan lebih rancak demi menjamin masa depan agama, bangsa dan negara ini sendiri. Walau bagaimanapun, tidak dinafikan bahawa AUKU ada peranannya yang positif. Antara kepentingan AUKU adalah untuk menjaga kedaulatan bahasa Melayu di universiti. Melalui AUKU, penubuhan universiti yang tidak menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama boleh dikekang. Perkara ini penting bagi menjamin kelangsungan budaya bangsa dan bagi memastikan budaya Melayu sebagai teras negara terus bertahan. Penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama juga penting bagi memastikan proses intelektual dan akademik tidak terpisah daripada budaya tempatan.

Selain daripada itu, AUKU juga menjamin penubuhan sesebuah universiti itu tidak boleh dilakukan secara sesuka hati. Hal ini penting bagi memastikan kualiti universiti itu terpelihara kerana penubuhan universiti haruslah menepati syarat-syarat yang tertentu. Di samping itu, terdapat juga beberapa peruntukan lain dalam AUKU yang positif seperti larangan untuk mahasiswa terlibat dengan kegiatan-kegiatan tidak bermoral seperti berjudi, minum arak dan sebagainya. Peruntukan-peruntukan seperti ini adalah peruntukan yang baik kerana menjurus ke arah proses pembangunan modal insan itu sendiri, dan bukannya sebagai kekangan yang tidak munasabah. Atas hal itulah, AUKU wajar dipinda dan tidak perlu dihapuskan.

Apa yang perlu dipinda dalam AUKU adalah akta-akta tidak munasabah yang menjadikan mahasiswa ‘takut’, yang menjadikan mahasiswa hilang idealisme serta begitu lemah kepedulian sosialnya. Datuk Saifuddin Abdullah (Mantan Presiden MBM, sekarang Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi) pernah mengeluarkan kenyataan bahawa, “Perkara pokok adalah terdapat 13 peruntukan dalam AUKU yang mengongkong gerakan mahasiswa. Kerana itulah ia harus disemak, dipinda, atau dimansuhkan. Antara peruntukan itu ialah Seksyen 15 yang melarang mahasiswa menganggotai organisasi yang sah di luar kampus. Adalah tidak wajar melarang persatuan mahasiswa bergabung sesama mereka atau bekerjasama pada peringkat yang lebih luas, seperti peringkat nasional atau antarabangsa sedangkan jaringan itu amat penting.”

Semoga hasrat untuk meminda AUKU bagi memberikan ruang yang lebih luas kepada mahasiswa untuk terlibat secara aktif dan secara langsung dengan pertubuhan-pertubuhan pelajar dan belia, sebagai platform untuk mereka mengembangkan kreativiti dan menyalurkan idealisme, akan menjadi satu realiti. Usah gentar dengan suara mahasiswa, andai benar kalian tidak punya apa kesalahan untuk ditutupi. Wahai rakan-rakan mahasiswa sekalian; jika takut dengan risiko, jangan bicara tentang perjuangan!

Wallahu’alam.

p.s.: Terima kasih kepada saudara Muhd. Faisal Abdul Aziz (Exco Pendidikan & Penyelidikan PKPIM) yang telah menyediakan Dokumen Rasmi Kajian AUKU untuk PKPIM.
Previous
Next Post »

2 comments

Click here for comments
revomuda
admin
9:29 pm ×

apa lah yang korang pikirkan sangat dengan AUKU ni...dah diberi peluang untuk belajar, belajar lah betul2 dok sibuk2 pasal AUKU buat apa.....

apa yang korang takut sangat dengan AUKU ni....orang yang takut dengan bayang2 sendiri je takut dan nak sangat AUKU ni dipindalah di hapuslah.....

sepanjang aku menajdi pelajar aku tengok ramai sangat yg berjuang(konon-konon nya) untuk AUKU ni....AUKU menindas lah AUKU kejam la AUKU itulah AUKU inilah.... BULLSHIT......

pikir lah belajar dulu dan masa depan macama mana....

kalau manusia dah takde undang2...pikirlah sendiri apa akan terjadi...korang mahasiswa yanga da akal.....

Reply
avatar
pekpim
admin
2:31 am ×

wakaka...aku nak tegur skit la member-meber aku nih..hmm..walaupun aku ni budak pkpim...tapi aku rasa yang betul2 perjuangkan mansuhkan akta zalim dikalangan mahasiswa adalah budak-budak PMI...hmm...aku malu kalu nak mengaku pkpim betol2 iklas lawan auku...tulisan tak menggambarkan tindakan...ingt lah wahai pimpinanku...

Reply
avatar