Janji Melampau?

Sedang berehat di rumah, tetiba aku mendapat berita daripada kenalanku yang menghadiri satu ceramah anjuran Barisan Alternatif di Sri Gombak. Katanya, ada sekitar 10,000 orang yang menghadiri ceramah itu, mungkin kerana Kehadiran Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Apa yang aku tahu, ceramah itu membariskan calon-calon Barisan Alternatif di Parlimen Gombak dan semua kawasan DUN di Gombak. Tetapi apa yang sedikit menyentuh hatiku bukanlah tentang kehadiran ceramah itu, tetapi tentang apa yang disebut oleh calon PAS bagi DUN Gombak Setia, Dato’ Dr. Hasan Mohamed Ali.

Aku menghormati Dato’ Dr. Hasan Mohamed Ali sebagai seorang motivator terkenal daripada dulu sampai sekarang. Tetapi, aku sedikit terkilan dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh beliau dalam ceramah tersebut. Menurut laporan yang aku terima, Dato’ Dr. Hasan Mohamed Ali telah memberikan janji bahawa mereka (calon-calon Barisan Alternatif), setelah selesai Pilihanraya, sama ada menang atau kalah, tidak akan berpindah parti ke UMNO. Janji beliau, seandainya mereka melanggar janji ini, maka akan jatuhlah talak tiga terhadap isteri mereka!

Aku sedikit terkejut apabila mendapat berita itu. Apabila memeriksa dengan beberapa orang kenalan lain, mereka turut mengesahkan bahawa Dato’ Dr. Hasan Mohamed Ali telah mengeluarkan janji seperti itu. Namun aku tidak pasti adakah benar semua calon-calon Barisan Alternatif telah membuat janji itu, atau sekadar Dato’ Dr. Hasan Mohamed Ali seorang. Benar, beliau cuba menunjukkan betapa komited dan seriusnya beliau terhadap perjuangan parti yang beliau wakili, tetapi kenapa sampai perlu keluarga yang dijadikan pertaruhan?

Apakah nilai isteri kepada calon-calon ini? Apakah agaknya perasaan isteri-isteri mereka apabila dijadikan seolah-olah ‘barang pertaruhan’? Benar, aku sedar bahawa perjuangan beliau adalah perjuangan yang besar, perjuangan untuk rakyat. Tetapi, adakah beliau benar-benar yakin bahawa corak politik di masa depan tidak akan berubah, sehingga memungkinkan beliau berubah parti? Pada hematku, andaikata berubah parti politik itu bererti berubah ‘aqidah, maka aku setuju dengan janji seperti itu. Namun, aku masih yakin dan percaya bahawa situasi sekarang belum lagi sampai ke tahap itu.

Bukankah, sebagai seorang Islam, kita dituntut untuk menjaga keluarga kita? Menyayangi dan memelihara keluarga adalah tugas suami, sebagai pemimpin dalam keluarga.

Firman Allah S.W.T. (yang lebih kurang maksudnya):
Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu...” (Surah At-Tahriim, ayat ke-6)

Aku tidak menolak tuntutan dan tawaran yang dikemukakan oleh Barisan Alternatif, walaupun ada beberapa janji-janji yang ditaburkan yang mungkin boleh dipersoalkan. Namun, aku berharap agar calon-calon yang bertanding, sama ada daripada Barisan Nasional ataupun Barisan Alternatif, agar tidak membuat janji-janji yang melangit yang akhirnya kelak berpotensi untuk memakan diri anda sendiri. Benar, anda seorang pemimpin yang sedia berkorban untuk rakyat; tetapi jangan lupa bahawa anda masih seorang hamba Allah yang ditaklifkan dengan amanah kepimpinan dalam keluarga.

Wallahu’alam.

Previous
Next Post »

1 comments:

Click here for comments
Atas Pagar
admin
9:03 pm ×

Assalamualaikum

Aku pun memang terkejut membaca apa yang tertulis!

Lagi-lagi dari seorang yang 'senior' lagi berpengalaman dan mempunyai 'Doctorate' DR di depan nama.

Hai...inikah pemimpin BA?

Beginikah yang ditonjolkan apa itu "perubahan"?

Aku juga terkilan dengan ungkapan tersebut.

Apakah pemimpin yang ada, cetek pemikiran? Atau mereka ni taksub dengan tepukan bagi 'egoism' dalam mereka?

Kalau pemimpin BA macam ni tak pandai jaga cakap (Islam ajar kena hati-hati guna lidah), macam mana bila memimpin negara? Salah cakap boleh bikin satu negara rusuh!

Cakap pun sudah bikin orang terkilan, habis impresi apa pulak yang nak di ketengahkan?

Congrats bro Atas Pagar you got PERTAMAX...! hehehehe...
Reply
avatar