Ayat-ayat Cinta The Movie: Penantian dan Harapan

Novel Ayat-ayat Cinta karangan Habiburahman El-Shirazy antara novel kegemaranku. An all-time favourite. Aku rasa ramai juga yang begitu; ramai yang meminati novel Ayat-ayat Cinta. Remaja dan belia yang begitu mudah tertarik dan asyik dengan persoalan cinta (yang aku kira, fenomena normal; manusia tidak normal sahaja yang tidak punya rasa cinta), terheret dalam satu kisah cinta yang begitu menggegar jiwa dan hati nurani pembacanya. Memang tidak salah ditemakan buku itu sebagai ‘sebuah novel pembangunan jiwa’. Bukan niatku untuk mengagungkan karya Ayat-ayat Cinta kerana karya itu hanya sebuah novel, tidak mungkin ditarafkan sebaris dengan Muqaddimah Ibn Khaldun mahupun Ihya Ulumuddin Imam Ghazali, namun bagiku itu bukan calang-calang novel. Dalam suasana dan ketika di mana pasaran novel dilambakkan dengan novel-novel pop dan picisan (ini novel-novel cerita jiwang karat yang banyak dibaca remaja zaman sekarang, yang jelas tidak punya nilai ilmiah dan pendidikan), kehadiran novel Ayat-ayat Cinta mengisi satu kelompongan besar yang pada satu ketika pernah diisi oleh Pak Hamka lewat karya-karyanya seperti Di Bawah Naungan Kaabah dan Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck. Karya Pak Hamka masih berbisa; tetapi novel Ayat-ayat Cinta lebih kontemporari justeru lebih mampu mendekati remaja zaman sekarang. Walaupun mungkin bagi yang tidak pernah kenal Mesir dan Al-Azhar, belum pernah kenal perjuangan Islam, tidak akan mampu untuk menghayati sepenuhnya suasana dan latar yang diletakkan dalam novel itu, namun sekurang-kurangnya mesej tentang persoalan cinta, perkahwinan, kehidupan dan perjuangan telah disampaikan dengan agak baik oleh penulis novel itu. Kalau tidak, masakan buku itu begitu laris di pasaran; dan kini, filem Ayat-ayat Cinta The Movie bakal diterbitkan!

Apakah filem itu mampu untuk memberikan kesan yang sama, kalau tidak lebih hebat, daripada novelnya? Ini persoalan yang bermain-main di fikiranku. Kalau novelnya berjaya untuk menjadi sebuah karya pembangunan jiwa rohani; adakah filemnya akan mencapai kesan yang sama? Atau adakah filemnya akan sekadar menjadi sebuah lagi filem cinta biasa yang hanya akan mendorong para remaja untuk terus hanyut dalam fantasi cinta berlandaskan nafsu? Persoalan-persoalan ini timbul setelah aku menonton trailer dan beberapa sedutan daripada filem tersebut (disertakan di bawah ini). Namun, ini persoalan-persoalan yang secara adilnya hanya akan mampu aku jawab setelah menonton filem itu. Filem Ayat-ayat Cinta sesuatu yang kini sangat dinantikan khususnya oleh pencinta novel itu (dan bagi yang belum membaca novel itu, filem ini pasti melariskan lagi jualan novel tersebut) seperti aku. Namun dalam masa yang sama, aku juga sangat mengharapkan agar filem itu dapat mengekalkan sifat kisah Ayat-ayat Cinta itu sebagai sebuah kisah pembangunan jiwa. Aku menanti dan mengharapkan…


Previous
Next Post »

2 comments

Click here for comments
NuRiZz
admin
10:21 am ×

assalamu'alaikum
harapnya akh dah pun baca mihrab cinta, atas sejadah cinta, pudarnya pesona cleopatra, dan bila cinta bertasbih. karya penulis yang sama.

subahanallah mantap!

Reply
avatar
Akhie Naim
admin
11:05 am ×

waalaikumussalam nurizz;

sebahagian daripada novel-novel itu memang saya dah baca. memang menarik, temanya sama seperti Ayat-ayat Cinta; yakni menyampaikan kisah cinta anak muda dalam suasana kontemporari sehingga mampu menjadi peringatan dan pedoman kepada anak muda pada hari ini yang rata-ratanya sibuk dan lalai dalam dunia berpacaran dan berpasangan.

cuma, mungkin apa yang perlu dilakukan sekarang adalah untuk menyampaikan buku-buku tersebut kepada golongan sasaran yang tepat. juga, perlu difikirkan bagaimana untuk menyampaikan mesej seperti dalam novel-novel itu kepada kelompok anak muda yang tidak minat membaca. dalam konteks itu, saya kira filem 'Ayat-ayat Cinta' satu usaha yang sangat baik. cuma, kita sama-sama berharap agar 'kekuatan' dan 'roh' mesej yang disampaikan dalam novel dapat tersalur melalui filemnya...

Reply
avatar