Pelajar Islam Sarawak: Antara Kehidupan dan Perjuangan

** DEDIKASI ISTIMEWA BUAT ADIK-ADIK PERKEPIS DAN ABM... ARTIKEL INI TELAH DISAMPAIKAN SEMASA USRAH UMUM PERKEPIS PADA 23 OKTOBER 2007 KEPADA SEGELINTIR KECIL AHLI USRAH YANG HADIR...


Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah, Maha Penyayang. Dengan nama Allah, Tuhan Pentadbir tujuh petala langit, Pentadbir tujuh petala bumi dan Tuhan Pentadbir ‘Arasy yang agung. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia, Nabi Muhammad, pembuka bagi sesuatu yang terkunci, penyudah segala nabi yang terdahulu, pembela kebenaran dengan kebenaran dan petunjuk ke jalan-Mu yang lurus. Limpahkanlah juga rahmat ke atas keluarganya dan sahabat-sahabatnya dengan kurniaan yang layak dengan kadar dan darjatnya yang agung.

Muqaddimah

Negeri Sarawak boleh dikatakan sebagai negeri yang paling unik di Malaysia. Dengan komposisi penduduk beragama Islam yang hanya sebanyak 30% (lebih kurang), dan berlatarbelakangkan iklim politik dan sosio-ekonomi yang sedikit berbeza daripada negeri-negeri lain di Malaysia, tidak hairanlah kalau negeri Sarawak sering dijolokkan sebagai ‘syurga’ bagi para pendakwah oleh para aktivis gerakan Islam daripada Semenanjung Malaysia. Justeru, peranan generasi muda dan para pelajar Islam di Sarawak adalah sangat penting dan sangat kritikal kerana di bahu kelompok inilah terpikul tanggungjawab untuk menentukan masa depan umat di Sarawak. Seandainya kelompok pelajar Islam yang punya kesedaran tentang perlunya sumbangan mereka dalam perjuangan umat mendokong misi dan cita-cita besar Islam tidak melaksanakan tanggungjawab mereka, maka pastinya kita melihat kepada masa depan yang kelam bagi umat Islam di Sarawak. Ilmuan kontemporer, Dr. Yusuf Abdullah Al-Qaradhawi pernah mengatakan bahawa jika kita ingin melihat masa depan sesebuah negara, lihatlah kepada kualiti generasi mudanya pada hari ini.

Namun, semangat dan kesungguhan para pelajar Islam di Sarawak seringkali tidak berpanjangan dan tidak berkesinambungan; sedangkan perjuangan Islam itu adalah merupakan perjuangan nafas panjang yang sangat menuntut kepada kesinambungan perjuangan dan penerusan generasi pejuang. Antara faktor utama yang menyumbang kepada fenomena keciciran di jalan perjuangan ini adalah kegagalan para pelajar Islam ini dalam merungkaikan dilema antara kehidupan dan perjuangan, antara matlamat kehidupan dan matlamat perjuangan. Seringkali para aktivis gerakan pelajar Islam tersungkur di atas jalan perjuangan dek tuntutan pekerjaan dan berkeluarga. Justeru, adalah sangat penting bagi para pelajar Islam di Sarawak, khususnya bagi para aktivis gerakan pelajar Islam, untuk menyelesaikan kekeliruan dan dilema antara tuntutan kehidupan dan tuntutan perjuangan.

Memahami Tasawwur Islam

Pertama sekali, adalah penting bagi para pelajar Islam untuk memahami tasawwur Islam yang benar. Pelajar-pelajar Islam di Sarawak perlu mempunyai pandangan hidup Islam yang jelas agar tidak berlaku kekeliruan dalam memilih antara tuntutan kehidupan dan tuntutan perjuangan. Antara faktor berlakunya dilema antara matlamat kehidupan dan matlamat perjuangan adalah kerana para pelajar Islam pada hari ini rata-ratanya sudah terpengaruh dengan pandangan hidup Barat yang dijaja dalam sistem pendidikan dan media massa. Adalah penting untuk kita memahami bahawa pandangan hidup Barat terhasil daripada proses pengalaman dan penerokaan akal manusia semata-mata. Justeru, pastinya pandangan hidup Barat tidak mempunyai hala tuju yang jelas kerana akal manusia semata-mata tidak mampu untuk mengetahui apa yang akan berlaku di masa hadapan. Oleh sebab itulah, budaya hidup di Barat dicorak dan diwarnai oleh budaya hedonisme dan budaya-budaya yang berkisar kepada pemujaan keremajaan dan kebeliaan. Pada pandangan mereka, masa remaja dan masa belia itu adalah zaman puncak yang perlu dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya untuk berseronok; kerana mereka tidak melihat tujuan lain dalam kehidupan selain untuk berseronok semata-mata. Mereka juga melihat masa remaja dan belia untuk bekerja sekuat-kuatnya; juga dengan tujuan supaya mudah berseronok dan untuk menjadi bekalan ketika usia tua. Perkara ini berlaku kerana pandangan hidup mereka dibentuk dan dicorakkan oleh akal manusia semata-mata. Mereka tidak mempunyai suatu sistem nilai yang mutlak dan sumber rujukan yang meyakinkan. Agama yang mereka anuti juga adalah merupakan hasil penerokaan akal, justeru terdapat banyak perkara yang tidak meyakinkan. Hasilnya, wujudlah banyak golongan yang sudah tidak yakin dan tidak percaya pada agama mereka lalu hidup berpandukan kepada akal dan nafsu mereka sendiri. Mereka percaya bahawa kehidupan dan masa depan mereka adalah di tangan mereka sendiri dan mereka tidak memerlukan agama sebagai panduan kerana ternyata agama mereka telah gagal memberikan panduan yang diharap-harapkan itu. Inilah pandangan hidup Barat yang rata-ratanya telah mempengaruhi pandangan hidup generasi muda Islam kita pada hari ini.

Para pelajar Islam di Sarawak perlu memahami bahawa mereka tidak boleh terpengaruh dengan pandangan hidup Barat itu kerana orang Islam mempunyai pandangan hidupnya yang tersendiri. Berbeza dengan agama-agama di Barat, sebagai orang Islam kita mempunyai sumber rujukan yang mutlak, yang tidak ada keraguan padanya, yang memberikan kita keyakinan dengan sebenar-benar keyakinan. Sumber rujukan kita datangnya langsung daripada Tuhan Yang Maha Esa, bukan hasil ciptaan manusia. Justeru, apabila kita menyelak panduan daripada Tuhan, kita akan menemui dengan jelas matlamat dan tujuan kehidupan.

Beberapa firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam kitab suci Al-Qur’an memberikan kita mesej yang jelas tentang pandangan hidup Islam;

Dan tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepada-Ku.” (Adz-Dzaariyat: 56)

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: ‘Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.’...” (Al-Baqarah: 30)

Yang menjadikan kematian dan kehidupan untuk menguji siapakah di antara kamu yang lebih baik amalannya.” (Al-Mulk: 2)

Kamu (umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang diturunkan kepada manusia, kamu menyeru kepada kebaikan, mencegah daripada kemungkaran, dan kamu beriman kepada Allah...” (Ali ‘Imran: 110)

Matlamat dan tujuan kehidupan kita tidak lain dan tidak bukan hanyalah semata-mata untuk mengabdikan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala. Pengabdian diri kepada Allah secara menyeluruh bermakna kita memastikan seluruh aktiviti dalam kehidupan kita adalah semata-mata kerana Allah; kita melakukan setiap perkara yang disuruh oleh Allah dan meninggalkan setiap perkara yang dilarang. Matlamat ‘ubudiyyah ini adalah merupakan hala tuju yang kita pegang dalam pandangan hidup Islam yang turut melibatkan keimanan dan keyakinan terhadap konsep-konsep seperti syurga dan neraka, dunia dan akhirat, dosa dan pahala, adanya malaikat dan adanya syaitan, qada’ dan qadar.

Itulah pandangan hidup kita sebagai orang Islam; kita memandang segalanya daripada satu sumber yang hakiki dan mutlak, dan kita tunduk dan patuh kepada sumber tersebut dengan sepenuhnya. Memang benar, bukan mudah untuk memastikan seluruh kehidupan kita berada dalam dimensi ‘ubudiyyah (pengabdian) kepada Allah, tetapi kita harus sentiasa berusaha dan meletakkan Allah sebagai matlamat dalam apa jua perkara yang dilakukan. Sesungguhnya pengiktirafan paling tinggi daripada Allah kepada manusia adalah dengan menggelarnya dengan panggilan ‘hamba’, sepertimana gelaran yang terlakar dalam Al-Qur’an terhadap Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam dalam peristiwa Isra’ dan Mi’raj (rujuk Surah Al-Israa’, ayat 1).

Gerakan Pelajar Islam di Sarawak: Memahami Peranan

Apabila seseorang pelajar itu sudah memahami peranan dan tanggungjawabnya di muka bumi ini sebagai hamba dan khalifah Allah, pastinya pelajar itu akan terpanggil untuk melibatkan diri dalam gerakan pelajar Islam. Di Sarawak, gerakan pelajar Islam yang benar-benar serius, komited dan konsisten dalam melaksanakan program-program Islami dan Islamisasi tidak banyak. Dengan komposisi penduduk beragama Islam yang hanya sebanyak 30% (lebih kurang) daripada seluruh penduduk negeri Sarawak, adalah ketara betapa gerakan pelajar Islam yang wujud di Sarawak perlu memanfaatkan segenap potensi yang ada dan melaksanakan tanggungjawabnya sesuai dengan peranannya yang sebenar.

Antara sebab berlaku kekeliruan ataupun dilema antara tuntutan kehidupan dan tuntutan perjuangan adalah kerana gerakan pelajar Islam yang mendokong perjuangan Islam itu ditanggapi dan dilihat dalam dimensi yang kurang tepat. Keadaan ini menyebabkan seseorang aktivis itu mudah berasa kecewa dan putus asa apabila dihadapkan dengan cabaran yang semakin hebat, khususnya selepas tamat zaman mahasiswanya. Antara lain, sebuah gerakan pelajar Islam itu dilihat sebagai platform membina ukhuwwah fillah; gerakan pelajar Islam juga dilihat sebagai sebuah persatuan yang menjalankan program-program Islami khususnya buat mengisi kelompongan program yang bercorak sebegitu di Sarawak; gerakan pelajar Islam juga dilihat sebagai tempat untuk mendapatkan ilmu agama; gerakan pelajar Islam juga dilihat sebagai tempat untuk melatih keyakinan dan kepimpinan diri sendiri. Selain daripada itu, antara yang kerap berlaku juga adalah, gerakan pelajar Islam dilihat sebagai tempat paling cocok mencari pasangan yang ideal memandangkan yang mengikuti gerakan pelajar Islam ini yang peribadinya baik belaka.

Tujuan-tujuan yang telah disenaraikan itu bukanlah tujuan yang salah, malah adalah tujuan-tujuan yang baik dan murni. Namun, tujuan-tujuan itu bukanlah matlamat akhir yang ingin kita capai. Apabila tujuan-tujuan yang telah disebutkan tadi dijadikan sebagai tujuan utama, maka kecenderungan untuk berlaku keciciran sangat besar. Di Sarawak, telah banyak kali terjadi keadaan di mana aktivis-aktivis gerakan pelajar Islam berkahwin sesama sendiri tetapi kemudiannya menyepi daripada perjuangan; mereka yang ketika zaman pelajarnya begitu aktif menggerakkan program-program Islami dan Islamisasi tetapi setelah berkahwin hilang sepi tanpa sebarang jejak. Apabila gerakan pelajar Islam, sebagai contohnya, dilihat hanya semata-mata sebagai tempat untuk mencari pasangan, maka penglibatannya akan berkurangan setelah pasangan diperolehi. Apabila perjuangan ini dilihat hanya semata-mata untuk melaksanakan program-program Islami, maka kecenderungan untuk tercicir juga tinggi apabila sudah penat melaksanakan program-program tetapi tiada hasil yang diperolehi.

Justeru, adalah penting untuk para pelajar Islam di Sarawak memahami bahawa tujuan utama gerakan pelajar Islam adalah sebagai gerakan ‘ubudiyyah. Matlamat segala usaha, program, aktiviti dan gerak kerja dalam gerakan pelajar Islam tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menyempurnakan ‘ubudiyyah, menghubungkan diri dengan Allah Subhanahu wa Ta’ala. Itulah matlamat hakiki yang akan berterusan sehingga ke penghujung usia dunia. Bukankah matlamat kehidupan kita sebagai manusia adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah? Itulah peranan gerakan; untuk membantu dan menyokong kita dalam perjalanan mendekatkan diri kepada Allah kerana proses untuk mencapai tahap pengabdian yang menyeluruh kepada Allah memerlukan kepada bimbingan, tidak mungkin kita mampu melakukannya seorang diri.

Fungsi dan tujuan gerakan pelajar Islam sebagai gerakan ‘ubudiyyah dapat kita pelajari daripada kisah Nabi Musa ‘alayhi as-salaam tatkala baginda memohon kepada Allah agar Nabi Harun ‘alayhi as-salaam menjadi pembantunya bagi menggerakkan agenda dakwahnya.

Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala yang lebih kurang maksudnya:
Dan jadikanlah bagiku, seorang penyokong dari keluargaku. Iaitu Harun saudaraku; Kuatkanlah dengan sokongannya, pendirianku; Dan jadikanlah dia turut campur bertanggungjawab dalam urusanku, supaya kami sentiasa beribadat dan memuji-Mu, dan (supaya) kami sentiasa menyebut dan mengingati-Mu; Sesungguhnya Engkau adalah sedia melihat dan mengetahui hal ehwal kami.” (Taaha: 29-35)

Begitu juga dalam ayat Al-Qur’an yang lain Allah Subhanahu wa Ta’ala memberikan mesej bahawa walaupun projek-projek dakwah telah berhasil, walaupun kita sudah berjaya menegakkan sistem Islam dan sudah menguasai dunia sekalipun, peranan utama kita untuk mengabdikan diri kepada-Nya dan mengajak orang lain untuk tetap dalam pengabdian kepada Allah adalah tetap merupakan peranan paling penting.

Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala yang lebih kurang maksudnya:
Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar; dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.” (Al-Hajj: 41)

Dalam konteks di Sarawak, adalah penting untuk kita memahami dan menanggapi gerakan pelajar Islam yang ada dalam dimensi dan perspektif yang tepat kerana apabila gerakan itu ditanggapi dengan tepat, barulah gerakan tersebut dapat menjalankan peranan dan tanggungjawabnya dengan tepat. Pemahaman yang tepat itu jugalah yang akan mengelakkan kita daripada terjebak dalam dilema antara tuntutan kehidupan dan tuntutan gerakan.

Kehidupan Adalah Perjuangan

Pokoknya, kehidupan adalah perjuangan! Seharusnya tidak ada pemisahan di antara tuntutan kehidupan dan tuntutan perjuangan kerana hakikatnya kehidupan itu sendiri adalah satu perjuangan. Apabila kita telah memahami pandangan hidup Islam yang benar seperti yang telah diterangkan, maka kita akan jua memahami bahawa seluruh kehidupan ini adalah satu perjuangan untuk mengabdikan diri kepada Allah dan untuk mengajak orang lain mengabdikan diri kepada Allah, Tuhan yang Menciptakan sekalian makhluk dan seluruh alam. Maka, kita tidak akan mempunyai dilema antara tuntutan kehidupan dan tuntutan perjuangan kerana hakikatnya tuntutannya tetap satu: mengabdikan diri kepada Allah!

Saidina Umar Al-Khattab pernah menyatakan: “Tiada Islam tanpa jemaah, tiada jemaah tanpa kepimpinan, dan tiada kepimpinan tanpa ketaatan.” Kenyataan tersebut menggambarkan kepada kita betapa perlunya kita berada dalam sebuah gerakan yang memperjuangkan Islam, kerana Islam itu bukanlah agama untuk individu, tetapi agama untuk seluruh umat manusia. Hal ini tergambar dalam Al-Qur’an dengan adanya ayat-ayat yang ditujukan kepada seluruh manusia, ayat-ayat yang bermula dengan seruan: “Wahai manusia!”. Selain daripada itu, konsep-konsep seperti sedekah, infaq, zakat, nasihat-menasihati, tolong menolong, semuanya menggambarkan bahawa Islam adalah agama yang mementingkan kehidupan bermasyarakat. Namun, kehidupan bermasyarakat yang diajar dan ditekankan dalam Islam adalah masyarakat yang dekat dan mendekatkan individu kepada Allah; bermakna masyarakat yang patuh tunduk kepada segala peraturan, suruhan dan larangan Allah.

Cabaran Kerjaya Dan Keluarga

Setelah kita memahami matlamat kehidupan kita dan matlamat perjuangan melalui gerakan pelajar Islam seperti yang telah disebutkan, dan memahami bahawa kedua-duanya pada hakikatnya mempunyai tujuan yang sama, adalah penting juga untuk kita mengenalpasti cabaran kerjaya dan keluarga kerana ini adalah dua perkara penting yang akan menjadi cabaran besar bagi seorang aktivis gerakan pelajar Islam.

Penglibatan dengan gerakan pelajar Islam bukanlah bermaksud seseorang itu tidak berpeluang untuk mencari kerjaya yang lumayan. Oleh sebab itulah penting untuk kita memahami di peringkat awal bahawa kita berjuang bukan untuk sesebuah gerakan atau persatuan, tetapi kita berjuang untuk Islam, kita berjuang kerana Allah. Maka, dalam apa sahaja ruang dan peluang yang ada, kita laksanakanlah tanggungjawab kita. Apa yang paling penting adalah kita memilih kerjaya yang halal menurut syariat. Kemudian, adalah lebih baik (malah perlu) seandainya pemilihan kerjaya itu dibuat dengan mengambil kira keperluan dan misi gerakan; ataupun dengan mengambil kira agenda Islamisasi yang diperjuangkan oleh gerakan. Sebagai seorang Islam, kita harus berusaha sedaya upaya untuk memastikan kerjaya dan kehidupan kita itu membawa manfaat kepada gerakan dan kepada umat seluruhnya. Itulah antara sifat utama Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam, yakni memberikan manfaat dan jasa kepada orang lain.

Daripada Aisyah radiyallahu ‘anh berkata: ...Lalu Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam bersabda kepada isterinya Khadijah: “Sesungguhnya aku takut terjadi ke atas diriku sesuatu yang tidak baik.” Maka Khadijah menjawab: “Tidak sama sekali, tidak akan berlaku sesuatu yang tidak baik. Bahkan sebaliknya hendaklah engkau bergembira dengan kejadian itu. Demi Allah! Allah tidak akan menghinakan engkau selama-lamanya. Demi Allah! Sesungguhnya engkau sentiasa menghubungkan silaturrahim, benar dalam perkataan, menanggung penderitaan kaum yang lemah, mencarikan pekerjaan bagi orang yang menganggur, menjamu tetamu dan membantu orang yang ditimpa musibah...”. (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)

Justeru, apa yang penting adalah kita memanfaatkan ruang dan peluang yang ada untuk terus menyumbang jasa kepada masyarakat. Dalam hal ini, sesebuah gerakan dan individu itu perlu kreatif; mereka perlu mencari ruang dan peluang untuk melaksanakan agenda Islam dengan berdasarkan kepada kekuatan yang ada. Apa yang penting adalah seseorang itu tidak menjauhkan dirinya daripada kelompok gerakan pelajar Islam atau gerakan Islam yang didokongnya hanya semata-mata kerana tuntutan kerjaya. Apa yang penting juga adalah janganlah seseorang itu menjadikan dunia sebagai matlamatnya sehingga akhirnya mengorbankan segala gerak kerjanya untuk gerakan Islam disebabkan terlalu sibuk mengejar harta kekayaan. Harus diingati bahawa rezeki setiap seorang itu sudah ditentukan, dan Allah sudah menjamin akan memberikan rezeki kepada hamba-hambaNya. Nabi Ibrahim ‘alayhi as-salaam pernah mengatakan: “Aku jadi kekasih Allah kerana aku tak pernah runsing soal rezeki aku.

Begitu juga dalam soal berkeluarga, jodoh setiap seorang itu sudahpun ditentukan Allah Subhanahu wa Ta’ala. Namun, bukanlah bermakna kita tidak perlu berusaha, malah adalah perlu untuk kita berusaha. Bukanlah satu kesalahan untuk kita mencari pasangan di kalangan sesama ahli gerakan, malah hal itu adalah sangat-sangat digalakkan. Namun, yang salah adalah apabila hal itu dijadikan perkara paling utama dalam keterlibatan seseorang itu dengan gerakan pelajar Islam. Juga, adalah menjadi kesalahan apabila adab-adab dan akhlak dalam pergaulan tidak dijaga; apabila budaya percintaan tajaan Barat menjadi ikutan, itu yang salah!

Selain daripada itu, kita juga perlu memahami tujuan perkahwinan yang sebenarnya. Pelajar Islam Sarawak yang mengikuti gerakan pelajar Islam perlu memahami bahawa di sebalik perkahwinan itu harus terselit agenda dakwah dan perjuangan, bukan semata-mata kerana cinta dan nafsu yang membuas. Apabila agenda dakwah dan perjuangan menjadi pertimbangan dalam memilih pasangan, barulah rumahtangga dan keluarga yang dibina akan terus kekal dalam perjuangan, malah bertambah kukuh dan komited. Hal ini demikian kerana seorang lelaki dan seorang wanita yang sama-sama memahami selok-belok perjuangan akan dapat bantu-membantu dan sokong-menyokong antara satu sama lain. Selain daripada itu, hasil perkahwinan yang bertunjangkan perjuangan dan konsep ‘ubudiyyah yang telah disebutkan pastinya akan dapat menghasilkan zuriat yang baik, yang akan turut menyambung tugas-tugas perjuangan pada masa yang akan datang.

Apa yang penting dalam soal kerjaya dan keluarga ini adalah kita membuat keputusan dengan menjadikan agenda perjuangan sebagai pertimbangan. Apabila kita sudah memahami pandangan hidup Islam dan juga peranan gerakan yang telah disebutkan tadi, maka kita akan memahami bagaimana sikap yang harus kita ambil dalam menentukan kerjaya dan membina keluarga.

Membina Kekuatan Diri

Memang benar, kadang-kala tidak mudah untuk kita menentukan kerjaya dan membina keluarga yang sesuai dengan matlamat dan perencanaan gerakan. Apatah lagi di bumi Sarawak yang penduduk Islamnya minoriti, yang pandangan hidup Islamnya jelas pula adalah minoriti daripada golongan minoriti penduduk Islam itu. Justeru, dalam soal ini kita perlu benar-benar merealisasikan matlamat kehidupan kita dan menjayakan matlamat gerakan yakni dalam dimensi ‘ubudiyyah kepada Allah. Aktivis gerakan pelajar Islam perlu berusaha mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala agar dapat menghadapi dengan sebaiknya cabaran-cabaran di jalan perjuangan, khususnya cabaran kerjaya dan keluarga.

Dalam hal ini, setiap aktivis gerakan pelajar Islam perlu kembali memperkasakan dimensi tasawwuf dalam diri dan dalam gerakan. Dimensi tasawwuf inilah, menurut Dato’ Dr. Siddiq Fadhil, merupakan dimensi yang telah diabaikan oleh majoriti gerakan Islam kontemporari. Mungkin atas sebab itu, kebanyakan gerakan Islam masih gagal menjayakan agenda mereka dan menemui pelbagai macam dugaan dan ujian yang sukar, termasuklah keciciran ahli dan para penggerak. Hakikatnya, dimensi tasawwuf ini sangat penting untuk kembali diperkasakan kerana tujuan kehidupan dan tujuan gerakan seperti yang telah disebutkan awal tadi adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah semata-mata.

Imam Abu Hassan Al-Syazuli mendefinisikan tasawwuf seperti berikut:
“Tasawwuf ialah melatih nafsu ke arah pengabdian kepada Allah dan menundukkan nafsu di bawah hukum-hakamNya.”

Pemerkasaan dimensi inilah yang sangat penting untuk kita membina kekuatan rohani yang akan dapat memastikan kita akan terus tegar di jalan perjuangan walau apapun cabaran yang melanda kerana pertolongan Allah itu pasti akan tiba. Tentera Badar yang seramai 313 orang itu berhasil menewaskan musuh yang seramai 1,000 orang dengan pertolongan daripada Allah, yang hadir kerana tentera-tentera itu adalah orang yang sangat hampir dengan Allah, yang bertaqwa kepada Allah. Formula ini sudah terlakar dalam Al-Qur’an, antaranya dalam Surah Al-Muzzammil.

Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin Al-Maliki pernah menyatakan bahawa sesiapa membiarkan urusan dirinya di tangannya sendiri, yakni tanpa penyerahan dan pergantungan kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala, maka ia akan penat mengurus dunia kerana dunia dan tuntutannya tidak akan pernah habis. Tetapi, sesiapa yang membiarkan kehidupannya diurus oleh Allah, maka Allah akan palingkan dunia untuk berkhidmat kepadanya. Kelemahan manusia dalam mengurus kehidupannya sendiri ini malah sudah disedari di dunia Barat sekalipun. Mereka kini tercari-cari formula untuk mengisi satu kekosongan besar yang mereka rasakan dalam jiwa mereka. Atas sebab itulah, Stephen R. Covey yang menghasilkan buku tersohornya “The 7 Habits of Highly Effective People” pada tahun 1989 telah menghasilkan satu lagi buku berjudul “The 8th Habit” pada tahun 2004 kerana menyedari terdapat kekurangan formula yang signifikan dalam penulisan awalnya itu, yakni yang berkaitan dengan soal rohani.

Justeru, sebagai aktivis gerakan pelajar Islam, adalah sangat penting untuk kita memperkasakan hubungan kita dengan Allah Subhanahu wa Ta’ala. Seterusnya, kita perlu memperkukuh budaya ilmu dan membina pandangan hidup Islam yang jelas agar kita memahami bagaimana kita harus berperanan dalam gerakan pelajar Islam dengan menginsafi suasana yang melatari negeri Sarawak pada hari ini.

Wallahu’alam.
Previous
Next Post »

3 comments

Click here for comments
Anonymous
admin
11:02 pm ×

Salam Ziarah. Segala puji bagiNya; sebuah artikel yang menyegarkan. Saudara ada menyebutkan cabaran kerjaya dan cabaran berkeluarga (yang lebih cenderung kepada pembinaan rumah tangga), bagaimana pula dengan cabaran dari keluarga? Cabaran dari ibu bapa yang masih kurang faham?

Reply
avatar
Naimz
admin
11:36 pm ×

Salam'alaik. Terima kasih atas komen yang diberikan. Memang saya lebih menujukan cabaran berkeluarga dalam artikel itu kepada aspek pembinaan rumah tangga; kerana mengikut pengamatan dan pengalaman rakan-rakan yang dikenali, ini antara masalah yang menjurus kepada keciciran di jalan perjuangan dalam konteks Sarawak, secara khususnya, yang boleh ditangani secara langsung. Cabaran daripada ibubapa yang masih kurang faham memang saya tak sentuh dalam artikel ini kerana saya lebih mengkhususkan kepada dua cabaran yang langsung berada dalam ruang lingkup kawalan individu pelajar itu sendiri. Pelajar itu sendiri mempunyai kapasiti memilih kerjaya dan pasangan hidupnya, justeru mencorak kehidupannya sendiri dalam latar perjuangan. Dalam soal cabaran ibubapa, selalunya pelajar tidak punya banyak peluang untuk berusaha merubah persepsi ibubapanya. Antara kaedah yang mungkin berkesan dalam merubah fahaman ibubapa yang masih kurang faham adalah dengan cara individu itu sendiri yang menunjukkan contoh mulia di hadapan ibubapanya - sebagai bukti bahawa keterlibatannya dalam perjuangan bukanlah merupakan satu pembaziran material dan masa, tetapi mendatangkan faedah yang lebih besar. Semestinya, untuk seseorang individu pelajar itu menunjukkan contoh yang baik di hadapan ibubapanya dan mampu untuk menerangkan dengan jelas kepada kedua ibubapanya akan erti penglibatannya dalam perjuangan memerlukan kepada individu itu untuk mempunyai pandangan hidup Islam yang jelas. Oleh sebab itulah saya meletakkan soal pandangan hidup Islam yang benar di peringkat awal artikel ini.

Selain daripada itu, saya juga berpandangan bahawa peranan untuk menyedarkan ibubapa yang masih kurang faham adalah merupakan tanggungjawab kolektif - organisasi dan masyarakat. Saya melihat bahawa peranan ini boleh diisi oleh golongan-golongan yang lebih senior dalam perjuangan, kerana atas kedudukan mereka itu mungkin penyampaian mereka lebih didengari oleh para ibubapa berbanding mesej yang disampaikan oleh anak-anak sendiri. Di sinilah peranan jemaah sebagai wadah perjuangan perlu dilaksanakan; dengan semangat tolong-menolong, bantu-membantu dan saling menguatkan antara satu sama lain.

Namun, saya tidak nafikan bahawa di peringkat individu pelajar itu sendiri memang perlu ada usaha yang dilakukan untuk cuba memahamkan ibubapa yang masih kurang faham. Mereka juga perlu ada kemahiran bagaimana untuk terus konsisten di jalan perjuangan walaupun berhadapan dengan hambatan ibubapa yang sebegitu. Terima kasih atas soalan yang sangat baik itu. Ini satu isu yang biasa berlaku. Mungkin perlu dibuat satu penulis khusus tentang isu ini... :)

Reply
avatar
Anonymous
admin
2:19 pm ×

syukran alaik atas respon. emm, ana menunggu penuh sabar untuk artikel yang dimaksudkan itu. salam perjuangan!

Reply
avatar