Kemerdekaan Perlu Diisi

Di atas robohan Kota Melaka,
Kita dirikan Jiwa Merdeka,
Bersatu padulah segenap baka,
Membela hak keadilan pusaka.

Pantun pusaka yang didendangkan oleh Dr. Burhanuddin Al-Helmy semasa kongres Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) di Melaka pada Disember 1946 tersebut membayangkan satu seruan untuk membangkitkan semangat juang dan jiwa merdeka di kalangan generasi muda. Kini, sudah genap 50 tahun negara mencapai kemerdekaan daripada penjajahan British. Namun, masih banyak perkara yang dibincangkan dalam negara ini berkenaan dengan soal kemerdekaan yang membayangkan bahawa kemerdekaan yang dicapai ini masih belum mampu memberikan erti yang sebenarnya.

Acara yang dijalankan setiap tahun seperti kempen mengibarkan jalur gemilang, dendangan lagu-lagu patriotik di media-media tempatan serta program-program bicara tentang kemerdekaan membayangkan kepada kita bahawa masyarakat di negara ini seolah-olah perlu dipaksa atau didesak untuk meraikan ulangtahun kemerdekaan. Agaknya, adakah kita akan mampu melihat kebanjiran Jalur Gemilang di sekitar negara seandainya kempen mengibarkan Jalur Gemilang tidak dibuat? Adakah anak-anak muda akan berbangga dengan pakaian bangsa tempatan jika tidak ada acara-acara rasmi yang memerlukan mereka untuk mengenakan pakaian sedemikian?

Realitinya, walaupun setelah 50 tahun negara kita mencapai kemerdekaan daripada penjajah British, rakyat di negara ini masih lagi terbelenggu pemikirannya dan budaya hidupnya dalam ‘jajahan’ budaya Barat. Perkara ini berlaku kerana masyarakat di negara ini masih lagi mempunyai mentaliti hamba (captive mentality), atau sikap yang diistilahkan oleh Malek Bin Nabi sebagai ‘kebolehjajahan’ (colonializability). Sikap dan mentaliti ini membayangkan bahawa masyarakat negara ini rata-ratanya masih membiarkan minda dan budaya mereka, dalam beberapa hal, dibentuk dan dicorakkan oleh pengaruh Barat.

Justeru, persoalan utama yang perlu diberikan perhatian apabila membincangkan tentang soal kemerdekaan adalah tentang pengisian kemerdekaan. Negara telah merdeka, tetapi mentaliti dan budaya rakyatnya masih terjajah. Perkara-perkara yang bersifat luaran seperti kempen mengibarkan jalur gemilang, acara sambutan ulangtahun kemerdekaan dan sebagainya adalah penting bagi mewujudkan satu suasana kemerdekaan serta membangkitkan semangat patriotik rakyat. Tetapi, dimensi pengisian kemerdekaan itulah yang lebih penting sebenarnya.

Jika pada setiap tahun kita sekadar melaung-laungkan kalimah “Merdeka! Merdeka! Merdeka!” sahaja, maka kita sebenarnya tidak akan ke mana. Malah, dikhuatiri kita sebenarnya bersikap paradoks. Di satu sudut, kita berbangga-bangga dengan kemerdekaan yang dicapai dengan pemahaman bahawa kemerdekaan ini membolehkan Malaysia mencapai kemajuan dan corak dan acuan sendiri. Namun, di satu sudut yang lain, kita juga seolah-olah membenarkan elemen-elemen asing masuk ke dalam negara dan mencorak mentaliti serta budaya masyarakat tempatan. Oleh sebab itu, yang lebih penting sekarang ini adalah bagaimana kita hendak memerdekakan minda dan budaya masyarakat, kerana masyarakatlah yang akan mengisi dan menggerakkan tanah air yang sudah sedia merdeka ini.

Sebagai generasi yang merdeka, masyarakat khususnya generasi muda perlu memupuk rasa ‘izzah (kemuliaan) sebagai sebuah masyarakat yang merdeka. Rasa ‘izzah ini hanya mungkin wujud apabila masyarakat kita kembali kepada jatidiri bangsa dan agama yang berakar pada nilai-nilai tradisi yang teguh dan benar. Tidak mungkin wujud rasa kemuliaan seandainya masyarakat kita masih lagi terikut-ikut dengan apa sahaja budaya yang datangnya daripada luar, apatah lagi jika budaya-budaya itu bertentangan dengan budaya serta nilai agama dan bangsa tempatan. Maka, kita perlu memupuk kembali jatidiri utuh di kalangan masyarakat. Membentuk jatidiri yang utuh ini memerlukan kepada pembinaan keyakinan budaya. Soal ini memerlukan kekuatan politik (political will) serta dokongan penuh daripada ahli akademik, intelektual serta pembuat polisi.

Antara perkara penting yang perlu dilakukan untuk membina kembali kekuatan jatidiri bangsa adalah dengan memperkasa peranan Bahasa Melayu. Bahasa itu jiwa bangsa. Bahasa itu merupakan antara elemen terpenting yang membentuk sesuatu bangsa. Dalam soal ini, bahasa Melayu tidak harus dilihat sebagai bahasa pertuturan yang hanya layak digunakan di pasar-pasar sahaja. Tetapi bahasa Melayu harus dilihat sebagai bahasa ilmu dan teknologi yang sangat penting. Mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa bahasa Melayu mempunyai bilangan penutur seramai sekitar 300 juta orang di seluruh dunia, dan merupakan bahasa keempat dalam turutan jumlah penutur bahasa-bahasa di dunia.

Jika negara Jepun, selepas mengalami kejatuhan teruk akibat diserang bom nuklear pada tahun 1945, mampu bangkit sehingga menjadi antara negara paling maju di dunia pada ketika ini dengan mengekalkan secara menyeluruh penggunaan bahasa Jepun di negara itu, mengapa tidak kita?

Pra-syarat terpenting dalam membentuk masyarakat yang punya keyakinan budaya serta ‘izzah adalah budaya ilmu. Laporan yang dibuat oleh UNESCO hasil kajian pada tahun 1999, dan juga oleh Perpustakaan Negara pada tahun 2005 menunjukkan bahawa rakyat di negara ini, secara purata, hanya membaca sebanyak dua buah buku setahun. Statistik ini masih terlalu kecil jika hendak dibandingkan dengan rakyat di negara-negara maju seperti di British yang membaca secara puratanya 7 buah buku setahun, dan di Amerika Syarikat yang membaca secara purata 11 buah buku setahun. Satu contoh yang mungkin lebih menarik adalah Pengerusi syarikat DENSO Corporation, sebuah syarikat gergasi antarabangsa dalam bidang automatif, bernama Hiromu Okabe yang membaca sekitar 200-300 buah buku setahun!

Masyarakat harus kembali menyedari bahawa tabiat membaca, yang merupakan manifestasi jelas daripada budaya ilmu yang mantap, adalah merupakan seruan yang pertama sekali diturunkan dalam Al-Qur’an. Sepertimana Firman Allah S.W.T. dalam Surah Al-‘Alaq ayat pertama yang lebih kurang maksudnya, “Bacalah, dengan nama Tuhanmu yang Menciptakan!”. Pemahaman dan keimanan terhadap ayat tersebut pastinya akan menjadikan seseorang itu menyedari bahawa tabiat membaca adalah sangat penting dalam proses pembangunan manusia, bangsa dan negara.

Pemugaran budaya ilmu ini memerlukan komitmen daripada semua pihak. Mungkin juga antara faktor penyumbang kepada lemahnya budaya ilmu di kalangan masyarakat di negara ini adalah kerana harga buku-buku yang terlalu mahal. Dalam hal ini, antara tindakan yang boleh diambil oleh pihak kerajaan adalah memberikan subsidi kepada rakyat untuk membeli buku. Dari segi keutamaan dan strategi pembentukan modal insan, adalah lebih wajar untuk kerajaan menyalurkan peruntukan untuk memberikan subsidi harga buku daripada wang yang begitu banyak dihabiskan untuk mendanai acara-acara keraian serta konsert-konsert hiburan.

Media massa juga perlu memainkan peranan mereka dengan mengurangkan promosi agenda hedonisme kerana budaya hedonisme inilah yang sebenarnya menghakis budaya ilmu di kalangan masyarakat kita. Sebagai sebuah negara merdeka, tidak perlulah kita mengangkat dan menyanjung artis-artis serta pelakon-pelakon daripada Barat. Kita juga tidak perlu meniru rancangan-rancangan daripada Barat, juga tidak perlu dan tidak wajar kita mengikut acuan Barat dalam membikin filem-filem tempatan. Seharusnya kita rasa bangga dengan tradisi dan budaya kita.

Selain daripada itu, sistem pendidikan yang kita praktikkan sekarang ini perlu dikaji semula dan dirombak. Sistem pendidik yang berorientasikan peperiksaan sekarang ini jelas telah gagal membentuk minda berfikir di kalangan generasi muda, sekaligus menghakis budaya ilmu. Sistem pendidikan yang kita gunapakai sekarang ini adalah berasaskan kepada sistem pendidikan daripada Barat. Walaupun mungkin sedikit sebanyak elemen Islamisasi telah menyerap masuk ke dalam sistem pendidikan tempatan, namun dari segi kurikulum dan pelaksanaannya masih lagi terpengaruh dengan sistem pendidikan Barat. Inilah yang dikatakan bahawa rakyat negara ini masih lagi terjajah dari segi minda dan budaya.

Justeru, apa yang penting sekarang ini adalah usaha ke arah mengisi kemerdekaan yang telah dicapai oleh negara dengan pengisian yang bermakna. Apa yang lebih penting adalah pembinaan minda dan budaya, bukan sekadar acara-acara rutin tahunan yang hanya mampu membakar semangat patriotisme untuk masa yang terlalu singkat. Masyarakat perlu dididik agar terbina keyakinan budaya, serta lebih yakin dan berani untuk menyaring budaya-budaya tidak sihat. Hakikatnya, kemerdekaan yang sebenar itu adalah ketidakbergantungan dengan sesiapa serta kebebasan daripada sebarang keterikatan, kecuali kepada Allah S.W.T.

Anjung Rahmat, 1.43 a.m.

* Maaf, artikel ini ditulis secara spontan. Masih banyak kelemahan, harap dapat memberikan komen. Terima kasih.

Previous
Next Post »

1 comments:

Click here for comments
careirra
admin
11:21 am ×

salam
sy mmg stuju dgn pndgn saudra mngenai mbaca tu

Congrats bro careirra you got PERTAMAX...! hehehehe...
Reply
avatar