Menang Bentuk, Kalah Isi

Oleh: Datuk Dr. Norraesah Mohamad



APABILA sebut saja tentang agenda Melayu senyuman dan kata-kata sinis akan dilontarkan oleh mereka yang menganggap ini sebagai isu kuno, lapuk bahkan memalukan dalam era ketika perkataan dan konsep yang diterima ialah globalisasi, liberalisasi dan meritokrasi.

Dasar Ekonomi Baru (DEB) dengan matlamat serampang dua mata iaitu pembasmian kemiskinan dan penyusunan masyarakat bagi menjamin pengagihan yang adil dan peluang yang saksama kadangkala diperlekehkan sebagai sesuatu yang juga tidak fashionable bahkan tidak relevan.

Kita umpama terlupa bahawa falsafah DEB ialah `pertumbuhan dengan pengagihan' apabila kesamarataan atau equity menjadi buruan yang akhirnya bermatlamatkan perpaduan negara dan kestabilan politik. Matlamat-matlamat ini tentunya masih relevan. Kalau objektif dan matlamat-matlamat ini tetap relevan dan penting maka kita harus melihat sama ada DEB telah mencapai sasarannya.

Dari mata kasar, orang Melayu nampaknya sudah berjaya. Ramai yang menjadi usahawan, ahli perniagaan yang disegani, jutawan terkenal, ahli korporat berkaliber, ahli-ahli profesional hebat yang dapat bersaing di medan antarabangsa dan juga penyelidik yang diiktiraf oleh rakan setara mereka di luar negara. Apa yang lebih menakjubkan, bilangan para graduan begitu ramai dan semakin meningkat.

Sememangnya dalam masa yang singkat semenjak DEB diperkenalkan pada tahun 1971, orang Melayu telah berjaya berhijrah dari sektor tradisional pertanian, ke sektor-sektor yang dahulunya tidak diterokai atau dimonopoli oleh bangsa asing dan kaum lain.

Kehebatan orang Melayu dalam bidang politik tidak dapat ditandingi. Bahkan inilah satu-satunya bidang di mana orang Melayu hampir memegang kedudukan monopoli. Kebijaksanaan orang Melayu menggubal dasar dalam apa juga bidang diperakui oleh semua. Berasaskan fakta-fakta dan kenyataan-kenyataan ini, orang Melayu berjaya dan seharusnya berjaya.

Tetapi adakah ini benar? Bolehkah kejayaan diukur berasaskan prestasi sejumlah kecil mereka yang berjaya? Adakah Melayu sudah berjaya kerana sudah pandai berjinak-jinak dengan pasaran saham? Adakah quasi monopoli politik bererti kejayaan atau penjamin kepada kejayaan?

Pencapaian sebenar orang Melayu harus diukur secara menyeluruh dan berasaskan bandingan relatif, dan bukan absolute iaitu bukan setakat melihat kedudukan dulu dan sekarang tetapi membuat perbandingan pencapaian sosioekonomi orang Melayu yang kebetulan adalah 61 peratus penduduk Malaysia dengan kaum-kaum lain.

Matlamat DEB dan falsafah `Pertumbuhan dengan Ekuiti' atau kesamarataan hanya akan dianggap tercapai sekiranya jurang perbezaan antara orang Melayu dan kaum-kaum lain dalam tiga soal penting iaitu pendapatan, pekerjaan dan pengwujudan kekayaan (wealth creation) tidak ketara atau tidak lebar.

Petunjuk-petunjuk sosioekonomi penting yang ada menyangkal tanggapan bahawa orang Melayu secara menyeluruh sudah mencapai kejayaan yang boleh dibanggakan. Di sektor-sektor berproduktif tinggi dan di mana nilai tambahan adalah tinggi, terutama sektor pembuatan, kehadiran orang Melayu terlalu kecil. Walhal sektor ini merupakan penjana utama pertumbuhan ekonomi negara, menyumbang 30% kepada KDNK negara tiap tahun.

Sektor perkhidmatan yang dikenal pasti, bahkan sudah pun terbukti sebagai sektor yang dinamik dari segi pertumbuhan dan sumbangan pada KDNK masih tidak menyaksikan penyertaan yang bermakna daripada orang Melayu.

Dalam industri runcit yang berjumlah RM60 bilion setahun dan berkembang pada 9.2 peratus setahun, penyertaan orang Melayu mengecewakan. Galakan yang diberi untuk memajukan industri kecil dan sederhana bertujuan membentuk masyarakat perniagaan dan perdagangan bumiputera (MPPB).

Untuk ini berbilion ringgit diperuntukkan, tetapi pencapaian masih jauh dari sasaran. Sebagai contoh dalam program francais, hanya 572 francaisi dapat dilahirkan dari sasaran 1,200 di bawah RMK7. Di samping itu, daripada jumlah peruntukan pembiayaan yang begitu besar, pengusaha Melayu yang melanggan masih dalam minoriti.

Sasaran untuk mencapai 30 peratus ekuiti bagaikan sesuatu yang mustahil. Daripada 20.6 peratus yang dicapai pada awal 1997, peratusan menurun akibat krisis kewangan yang melanda pada Julai tahun yang sama. Kini peratusan berada pada tahap yang lebih rendah iaitu 18.3 peratus.

Sementara kita berbangga dengan jumlah bilangan profesional Melayu yang meningkat seperti doktor, jurutera, akauntan, arkitek, peguam dan lain-lain, kita dikejutkan oleh perangkaan yang menunjukkan bahawa dari sudut relatif, orang Melayu jauh ketinggalan.

Apa yang merunsingkan lagi, 90 peratus, jika tidak lebih, dari ribuan para graduan yang menggangur terdiri daripada anak-anak Melayu. Ini antara lain menunjukkan bahawa anak-anak Melayu tidak mempunyai ciri-ciri yang menentukan employability. Disiplin yang diikuti mungkin tidak bersesuaian dengan kehendak pasaran pekerjaan atau ada perkara-perkara yang tidak membantu di luar penglihatan.
Petunjuk yang lebih membimbangkan ialah nisbah pendapatan antara orang Melayu dan bukan Melayu yang semakin mengengkang. Sebelum DEB jurang berbezaan dalam pendapatan atau income disparity ratio antara Melayu dan Cina ialah 1:2.29. Pada tahun 1999 ia menurun pada 1:1.74 dan kini berada pada tahap 1:1.83.

Ini bermakna bahawa bagi setiap satu ringgit yang orang Melayu perolehi, rakan Cinanya memperoleh hampir dua kali ganda. Ini juga bererti matlamat kesamarataan antara kaum iaitu aspek penyusunan semula masyarakat jauh dari sasaran.

Kini kita menghadapi cabaran-cabaran baru berbagai-bagai bentuk dan nama; globalisasi, liberalisasi, saingan antarabangsa, dunia ICT, K-ekonomi yang akan meletakkan orang Melayu lebih jauh dari pembangunan, sekiranya keadaan yang ada berterusan dan orang Melayu sendiri masih dalam state of denial dan menidakkan realiti.

Banyak yang sudah diperkatakan tentang jurang digital yang akan lebih memburukkan lagi landskap sosioekonomi Melayu. Banyak lagi angka dan petunjuk yang dapat dipaparkan untuk membuktikan bahawa orang Melayu jauh ketinggalan dalam pelbagai segi dan bidang.

Berlandaskan petunjuk-petunjuk di atas sahaja tanpa data perangkaan lain dan analisis yang lebih terperinci, orang Melayu tidak boleh menganggap mereka sudah berjaya dan begitu bersedia beraksi di pentas meritokrasi.

Kejayaan segolongan kecil tidak boleh diterjemahkan sebagai kejayaan orang Melayu, apatah lagi apabila majoriti di antara kita iaitu the critical mass masih ketinggalan jauh dan terpinggir dari arus pembangunan sebenar. Kejayaan minoriti juga sukar dipertahankan sekiranya kelompok yang kritikal tidak bersama kerana secara purata ia melemahkan pencapaian menyeluruh.

Orang Melayu terutama yang sudah berjaya sama ada sebagai usahawan atau profesional muda yang berpotensi harus menyedari dan mengakui bahawa mereka `bertempat' hasil daripada strategi-strategi di bawah DEB.

Mengembalikan DEB dalam apa jua bentuk rupa dan nama bukan soal memberi keutamaan kepada orang Melayu tetapi sebagai mekanisme berkesan untuk mencapai pertumbuhan dengan pesamarataan (Growth with equity).

Strategi pembangunan yang berfokuskan pemindahan orang Melayu ke sektor berproduktif tinggi tanpa kebocoran dalam pelaksanaan, akan membawa kepada pertumbuhan ekonomi negara yang lebih tinggi. Potensi kuasa membeli 61 peratus penduduk harus digilap untuk kepentingan pertumbuhan secara menyeluruh.

Orang Melayu perlu mengulang kaji ekonominya, terutama cendekiawan intelek dan pemimpin. Berhadapan dengan proses globalisasi dan liberalisasi yang mengancam kesejahteraan yang ada, cabaran kepada negara ialah mempertahankan pertumbuhan dan daya saing.

Ada dua peringkat cabaran kepada orang Melayu - peranan dan tanggungjawab yang berganda. Tanggungjawab pertama ialah kepada diri sendiri sebagai komponen penduduk yang terbesar dan kedua sebagai rakyat Malaysia.

Orang Melayu, dan bukan hanya kerajaan, harus menghitung dan memutuskan sama ada mereka mahu melihat jurang perbezaan pendapatan, pekerjaan dan pengumpulan kekayaan yang terdapat antara Melayu dan kaum lain didekatkan atau sebaliknya. Orang Melayu sendiri harus memikul tanggungjawab menyamaratakan padang permainan ekonomi.

Untuk melakukan ini orang Melayu mesti mempunyai keazaman yang cekal digandingi usaha yang gigih dan berterusan. Berbekalkan ciri-ciri ini barulah dasar dan strategi sokongan daripada kerajaan boleh membawa kesan dan makna. Jika ini berjaya dilakukan orang Melayu akan memenuhi tanggungjawab keduanya sebagai warga Malaysia apabila kapasiti yang meningkat membantu negara menghadapi cabaran dari luar.

Jelas bahawa soal peningkatan orang Melayu, mengikut proses timbal balik, ialah soal kepentingan negara. Cabaran utama yang harus dihadapi segera oleh orang Melayu ialah kesedaran dan kejujuran menerima segala realiti.

Penyelesaian bermula dengan menerima kenyataan dan bukan menidakkannya. Penyelesaian juga bermula dengan mengenali kelemahan bukan mencari kesalahan.

Jika orang Melayu tidak sanggup menerima kenyataan tentang kelemahan serta tidak sanggup pula bertindak untuk memperbaiki kedudukan, mereka akan dicatat dalam sejarah sebagai kaum yang berjaya dalam bentuk (form) tetapi kalah dalam substance. Orang Melayu memperjuangkan dan memenangi kemerdekaan tetapi gagal meraih hasil kemerdekaan itu.

UMNO ditubuhkan untuk memperjuangkan kepentingan bangsa, agama dan negara. Ahli-ahli UMNO harus menjadi orang pertama menyedari dan memberi perhatian terhadap soal agenda Melayu.

Adalah diharapkan bahawa, menjelang Perhimpunan Agung UMNO September ini, para perwakilan dan pemimpin UMNO, dalam keghairahan pemilihan dapat memberi tumpuan kepada soal ini.

Ungkapan `agenda Melayu' yang kadang- kala dianggap sebagai ungkapan `menghina' (derogatory) dalam konteks political correctness hari ini harus mendapat pengertian sebenar. Agenda Melayu bukan soal ketuanan Melayu atau memberi keutamaan kepada orang Melayu tetapi ia adalah soal kesamarataan (equity) sosioekonomi dalam pembangunan negara yang majmuk.

* DATUK DR. NORRAESAH MOHAMAD ialah Pengerusi Alcatel Network Systems (Malaysia) Sdn. Bhd. yang juga ahli Majlis Tertinggi UMNO
Previous
Next Post »