Aku Bukanlah Insan Ampuh

Selama ini aku bukanlah insan ampuh
mampu menyanggah bahana menyergah
atau mampan menegak mengakuri hukum
namun ingin aku redahi kembara ini
berpenghujung di sejarah yang gemilang

Justeru
dalam kejernihan suara berkanta kewarasan
aku mencari kebijaksanaan yang tersisa
untuk titipkan suatu buat penafsiran

Kala ini kita mahukan kewajaran
bukan akal menggigil disergah kedayusan
kala ini kita mahukan daya berbara jihad
bukan cebisan semangat mereput dan bernafas pada buhul celaka
moga-moga kita tidak terkubur dalam wacana perkasa ini

Kita bukan segugus ketololan dilipat dalam nyawa
tapi satu jiwa dianugerah istana kemanusiaan
moga istana ini mampu kita hias menjadi medan ubudiyyah
biar kita ranum dalam mengimarahkan kebenaran
bersabarlah kerna sengsara ini wajar ditafsir menjadi tinta maghfirah

Benarlah mungkin berabad kita tunggu darah kita buat jadi korban
atas nama panggilan syuhada
namun sebelum masa itu tiba
biar kita renung tamsil kenyataan
jangan bersembunyi dalam redup kekeliruan
agar sumpah kita terbela dari bilah-bilah ilmu berbekalkan ketaqwaan

Dari neraca ketamadunan kita padamkan ledak kejahilan
jangan tertimbus dalam kemegahan tidah bermaruah
jangan jua kita lena menjuzuk restu pada rentak kufur
jangan pula kita hanyut pada jumud melohong fikir
kentalkan azam agar mampu kita ubah pilu ini
agar menjadi rentak kebenaran yang paling akhir

Rupanya memang payah sekali
merencana hala agar tidak tersasar
menyulam ketabahan dalam genggam penindasan
bertapak teguh pada bumi yang songsang
namun inilah jalan kita
jalan hamba yang sebenar-benarnya

- farafishah -

Previous
Next Post »